Monday 6 August 2012

Perkembangan Terkini 6/8/2012


Berikut adalah perkembangan terkini  KKMB dan proses perlesenan KKMB, setakat 6 Ogos 2012.

Kami dimaklumkan bahawa bagi kerja-kerja kemaskini akaun bagi tahun 2009 sudah berada di tahap 80%. Ini adalah kerana, daripada 24,301 transaksi kewangan bagi seluruh tahun 2009, hanya 10,477 rekod yang dijumpai, dan sebanyak 13,824 rekod yang telah hilang atau dimusnahkan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh yang demikian, kesemua rekod-rekod tersebut haruslah di layakan (qualified) satu per satu, sebelum maklumat-maklumat tersebut boleh diterima pakai untuk tujuan pengauditan. Pihak juruaudit juga mengalami kelewatan kerana kebanyakan rekod-rekod yang hilang adalah pada suku pertengahan dan akhir bagi tahun 2009. Dianggarkan bahawa akaun bagi 2009 ini hanya boleh selesai selepas Syawal 2012. Mengikut jangkaan rasmi, proses perakaunan akan siap sepenuhnya sekitar bulan Oktober, manakala proses pengauditan pula akan selesai selewat-lewatnya pertengahan bulan November.

Kami juga menghadapi satu lagi masalah dari pihak juruaudit iaitu masalah pembayaran kos perakaunan dan pengauditan. Jumlah yang telah di invoiskan kepada pihak kami adalah sebanyak RM 60,000. Buat masa sekarang, pihak syarikat tidak mempunyai sumber kewangan untuk membuat sebarang pembayaran kepada pihak juruaudit, dan akan berusaha untuk memujuk mereka untuk memberikan kerjasama pada pihak syarikat.

Untuk menyelesaikan masalah yang tersebut di atas, pihak Kumpulan Pengurusan baru telahpun bertemu dengan beberapa pelabur luar negara untuk mendapatkan pelaburan jangka pendek yang dapat menampung kos-kos operasi dan modal untuk meneruskan proses perlesenan ini. Walaupun telah menerima maklum-balas positif dari beberapa pihak, namun keputusan muktamad masih belum diperolehi dari mereka yang berminat. Harapan kami adalah untuk mendapat pelaburan tersebut sebelum Eidul Fitri.

Ada satu lagi perkara penting yang harus diketengahkan. Pihak KKMB telah menerima notis petisyen untuk menggulungkan syarikat dari Tetuan Rashid Zulkifli, Penguamcara dan Peguambela untuk salah seorang Mentor didalam skim lama, iaitu En. Zamakhshari Tun Dr Ismail. Pihak beliau telah mendaftar permohonan penggulungan syarikat dibawah seksyen 218 Akta Syarikat  Malaysia itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan perbicaraan akan diadakan pada 4hb September 2012. Tujuan kami mengutarakan perkara ini adalah untuk makluman semua mentor-mentor yang lain, bahawa sekiranya beliau berjaya untuk mendapatkan perintah penggulungan terhadap KKMB, pihak EuroNexus akan membatalkan perjanjian pengambil-alihan 80% kepentingan didalam KKMB, dan semua perlantikan untuk Kumpulan Pengurusan Baru akan ditamatkan dengan serta-merta.

Pihak kami ada menerima beberapa panggilan telefon serta lawatan dari mentor-mentor, yang menginginkan kembali wang pelaburan mereka, dan apabila bertemu dengan saya atau mana-mana ahli Kumpulan Pengurusan Baru, ada yang bersikap baik, dan ada juga yang bersikap kasar. Ingin saya mengingatkan kepada Tuan / Puan semua, bahawa saya dan semua ahli Kumpulan Pengurusan Baru yang lain berada disini untuk membantu anda. Kami di amanahkan oleh pihak SSM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua permasalahan KKMB. Jadi adalah tidak wajar sekiranya saya atau rakan sekerja saya dimarahi atau ditengking, kerana bukan kami yang menyebabkan permasalahan ini. Kami disini untuk membantu dan berada di pihak anda semua. Kami faham bahawa anda semua adalah manusia, yang mempunyai perasaan marah, geram dan kecewa atas apa yang telah terjadi.. Anda juga harus ingat, kami juga adalah manusia.. Dan kami juga boleh berhenti dan angkat kaki. Bukanlah itu hasrat kami, tetapi sekiranya keadaan memaksa, kami tidak akan teragak-agak. Jadi kami memohon jasa baik, sokongan serta bantuan dari semua pihak untuk memberikan ruang kepada saya dan rakan sekerja yang lain, untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.

Secara rasminya, kami telah berusaha untuk mendapatkan pelaburan jangka-pendek dari pelabur-pelabur luar negara, dengan harapan mereka akan menyuntik modal baru kedalam KKMB sebelum Eidil Fitri ini. Namun setakat hari ini, tiada keputusan muktamad atau konklusif yang dapat diperolehi dari mereka. Pihak kami akan terus follow-up dengan mereka dengan harapan, sasaran untuk memperolehi sedikit modal sebelum Hari Raya akan tercapai.

Sekiranya terdapat apa-apa perkembangan terkini, kami akan memuat-naikannya dilaman web ini.

Sekian, terima kasih.


Ketua Pegawai Eksekutif Baru
Kumpulan Pengurusan Baru
Kasturi Klasik (M) Berhad

Wednesday 6 June 2012

Perkembangan Terkini KKMB 07/06/2012


Pihak pengurusan baru telah menghantar dokumen dan fail-fail kewangan KKMB kepada pihak auditor iaitu Azlan Aziz & Partners (AAP) pada 30hb Mei 2012 yang lepas, untuk mengemas-kini akaun dan seterusnya di audit.

Kami dimaklumkan oleh pihak auditor baru-baru ini bahawa terdapat banyak isu yang timbul semasa proses perakaunan dilaksanakan, dan perkara tersebut akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

Apabila proses ini selesai, barulah pihak Auditor dapat menyempurnakan perakaunan KKMB, dan seterusnya melaksanakan pengauditan. Audit ini adalah penting kerana ia merupakan elemen penting didalam pembikinan Prospektus. Laporan Audit ini, bersama - sama dengan Laporan Perunding Bebas dan Profil Pengurusan akan menjadi sebagai satu Deraf Prospektus, dan akan diserahkan kepada pihak SSM untuk kelulusan. KKMB difahamkan bahawa kelulusan boleh diperolehi dalam masa 7 hari bekerja dari tarikh penyerahan. 





Sekian, terima kasih

Kumpulan Pengurusan Baru
Kastri Klasik (M) Berhad

Sunday 13 May 2012

Perkembangan Terkini KKMB 14/5/2012

Tetuan Masleena, Yee & Partners telah menerima surat kelulusan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kasturi Klasik (M) Berhad yang baru, iaitu En. Nahar Johari, pada 10 Mei 2012 yang lepas dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ini adalah berikutan temu duga yang telah diadakan pada 27 April 2012. Dengan adanya kelulusan ini, pihak KKMB boleh meneruskan usaha untuk mematuhi langkah-langkah fasa terakhir bagi permohonan kelulusan dibawah Skim Kepentingan SSM, iaitu menyedia, menyerah dan mendapatkan kelulusan bagi penerbitan Prospektus untuk Skim Kepentingan Program Mentor-Mentee Kasturi Klasik (PMMKK).

Di bawah ini kami paparkan sesalinan surat tersebut untuk makluman semua.




Sekian, terima kasih.

Kumpulan Pengurusan Baru
Kasturi Klasik (M) Berhad

Friday 27 April 2012

Perkembangan Terkini KKMB - 27/04/2012

Tetuan Masleena, Yee & Patners telah mendaftarkan Surat Ikatan Amanah yang telah di setem oleh Pejabat Setem, Kementerian Kewangan Malaysia, kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 26 April 2012

Maka dengan ini, pihak KKMB hanya menunggu surat maklum balas dan penerimaan dari SSM mengenai pendaftaran Surat Ikatan Amanah tersebut.  Sehubungan dengan itu, calon Ketua Pegawai Eksekutif  Kasturi Klasik yang baru iaitu En Nahar Dato' Johari telah menjalani temuduga rasmi dengan pihak SSM dengan jayanya pada 27 April 2012 jam 10.30 pagi tadi.  En Nahar dipahamkan bahawa surat kelulusan bagi perlantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Ekseketif KKMB akan dikeluarkan pada sekitar minggu hadapan.

Disertakan dibawah sesalinan surat dari Tetuan Masleena, Yee & Partners kepada SSM :-


Sekian, terima kasih.

Kumpulan Pengurusan Baru
Kasturi Klasik (M) Berhad

Tuesday 24 April 2012

Salinan Surat Kelulusan Rasmi Surat Ikatan Amanah dari SSM

Berikut adalah sesalinan surat Kelulusan Rasmi Surat Ikatan Amanah dari SSM yang bertarikh 19hb April 2012. Paparan surat ini adalah bertujuan untuk memaklum kepada semua pihak akan status sebenar permohonan Kasturi Klasik (M) Berhad untuk mendapat kelulusan beroperasi sebagai satu Skim Kepentingan yang berdaftar mengikut Akta Syarikat Malaysian 1965.

 Sekian

Kumpulan Pengurusan Baru
Kasturi Klasik (M) Berhad

Sunday 22 April 2012

Maklumat Proses Permohonan Skim Kepentingan

Pihak kami mendapat banyak pertanyaan mengenai Proses Permohonan bagi Skim Kepentingan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Oleh yang demikian, di bawah ini kami paparkan Rajah Proses Permohonan Keseluruhan bagi Skim Kepentingan dibawah SSM.



Seperti yang dinyatakan di dalam posting kami sebelum ini, setakat 23hb April 2012, status permohonan Skim Kepentingan KKMB sekarang sudah berada di peringkat "Daftar Ikatan Amanah'. Untuk melaksanakan proses ini, KKMB bersama dengan Tetuan Masleena, Yee & Partners harus mendaftarkan Ikatan Amanah yang telah diluluskan di Pejabat Duti Stem, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Kementerian Kewangan Malaysia) dan seterusnya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Apabila Ikatan Amanah tersebut telah didaftarkan di SSM, pihak SSM akan mengeluarkan Kelulusan Rasmi Skim Kepentingan KKMB. 

Harap maklum.

Terima kasih

Kumpulan Pengurusan Baru
Kasturi Klasik (M) Berhad

Thursday 19 April 2012

Status Terkini KKMB 19 April 2012

Kami telah menerima email dari Tetuan Masleena, Yee & Partners, di mana mereka telah memberikan sesalinan surat dari SSM yang menyatakan SSM telah memberikan Kelulusan Rasmi bagi Surat Ikatan Amanah. Pihak KKMB telah diberi tempoh selama 7 (tujuh) hari dari tarikh Surat tersebut (19 April 2012) untuk melaksanakan perkara - perkara berikut:-

1) Memberikan sesalinan Surat Ikatan Amanah yang telah dilaksanakan menurut Seksyen 86(3), Akta Syarikat 1965 dan

2) Memberikan pengakuan bertulis kepada SSM yang menyatakan Surat Ikatan Amanah yang dilaksanakan itu tidak berbeza dengan deraf yang telah diluluskan.

Pihak Pengurusan KKMB dijadualkan berurusan dengan pihak Masleena, Yee & Partners pada awal minggu hadapan untuk menyiapkan tuntutan - tuntutan SSM seperti di atas.

Sekian

Kumpulan Pengurusan Baru
Kasturi Klasik (M) Berhad